Tuesday, 2 September 2014

TIPS MENGHADAPI PEPERIKSAAN

Pernahkah anda merasa begitu berdebar semasa peperiksaan hendak dijalankan? Jantung anda berdegup dengan sungguh pantas. Tangan anda mula sejuk. Anda tidak boleh duduk diam. Anda juga rasa semakin sukar untuk fokuskan fikiran anda kepada apa yang telah anda pelajari. Apakah yang harus anda lakukan?
Ada satu cara untuk mengurangkan debaran sebegini. Sedar tak, semasa anda resah dan berdebar, anda bernafas dengan laju sekali? Anda bernafas kadangkala seperti orang yang baru berlari pecut 100 meter.   Bernafas dengan laju begitu akan membuat paru-paru anda sukar untuk menyerap oksigen yang anda sedut kerana anda sedut udara dan lepaskannya semula dalam masa yang sangat singkat.
Cara mudah untuk menyelesaikan masalah ini ialah, pertama, duduk atau berhenti seketika. Tarik nafas sedalam-dalamnya. Jika boleh tarik nafas panjang selama 7 saat. Kemudia tahan selama 7 saat juga (dalam masa yang sama tenangkan atau kosongkan fikiran anda) dan kemudian lepaskan perlahan-lahan selama 7 saat juga. Buat aktiviti ini 5 ke 10 kali.
Sebaik-baiknya anda amalkan cara pernafasan begini semasa mengulangkaji pelajaran. Nanti kesannya lebih baik jika anda lakukan semasa peperiksaan.
Praktikkan cara ini insyaallah anda akan rasakan kesannya yang membuat anda lebih tenang dan fokus. Selamat mencuba.

Tip #1
Bahaya menghafal di saat akhir
Sebelum memasuki dewan peperiksaan, pasti anda pernah lihat kawan-kawan anda sibuk membuka buku dan cuba menghafal fakta-fakta pelajaran kan? Apa pendapat anda tentang perkara ini?
Jika anda tanya saya, saya akan katakan bahawa ada bahayanya jika anda lakukan perkara ini. Ini kerana, sebelum memasuki dewan peperiksaan, anda lebih mudah panik. Katakan anda cuba menghafal sesuatu dan gagl menghafalnya, anda akan masuk dewan peperiksaan dengan perasaan sangat gementar kerana tidak menghafal fakta tadi. Ini mula mengganggu konsentrasi ingatan anda terhadap fakta-fakta lain.
Akhirnya, fakta yang anda tidak sempat hafal tadi mungkin tidak keluar langsung dalam soalan, tetapi disebabkannya, anda lupa fakta lain yang anda telah hafal sebelum ini. Ini semua disebabkan rasa panik dan gementar sebelum memasuki dewan peperiksaan tadi. Jadi, berbaloikah anda membuka dan menghafal nota disaat-saat akhir di luar dewan peperiksaan tadi?

Tip #2
Latih kebolehan menumpukan perhatian
Apabila kita sedang menjawab soalan di dalam dewan peperiksaan, satu kebolehan yang amat kita perlukan ialah kebolehan untuk menumpukan perhatian. Jika kita tidak boleh menumpukan perhatian, kita akan merasa sukar untuk mengingati apa yang telah kita pelajari. Jika kita tidak boleh menumpukan perhatian kepada menjawab soalan, kita juga akan mudah merasa letih dan hilang kebolehan untuk berfikir dengan tajam.
Satu cara untuk melatih kebolehan menumpukan perhatian ialah semasa anda melakukan ulangkaji pelajaran. Semasa mengulangkaji, ketepikan semua jenis gangguan seperti televisyen, radio, handphone dan cuba cari tempat yang agak tenang seperti keadaan di dalam dewan peperiksaan. Katakan anda sedang mengulangkaji matematik, cari soalan-soalan matematik yang anda boleh lakukan dalam masa 30 minit. Dapatkan contoh kertas peperiksaan jika boleh.
Kemudian, duduk dengan selesa. (Duduk dengan selesa bukan bermakna anda boleh berlunjur atau meletakkan kaki di atas meja ) Duduk seperti anda seorang pelajar cemerlang yang sedang menjawab soalan peperiksaan. Tetapkan dalam hati (dengan bersungguh-sungguh) bahawa anda akan menumpukan perhatian selama 30 minit untuk melakukan latihan matematik. Kita mulakan latihan penumpuan perhatian ini dengan 30 minit dulu. Jika anda rasa 30 minit terlalu lama, kurangkan sedikit.
Kemudian, mula menjawab soalan-soalan itu. Gunakan segala usaha minda anda untuk menepis sebarang jenis gangguan yang mungkin mengganggu konsentrasi anda. Mungkin dalam masa 30 minit anda mula teringat rancangan television yang menarik dan mungkin anda juga teringat tentang janji untuk berjumpa kawan. dalam masa 30 minit ini, lupakan itu semua. Fokus 100 peratus perhatian anda kepada  soalan yang sedang lakukan.
Cuba latihan sebegini beberapa kali. Setelah berjaya, tambahkan masa daripada 30 minit kepada 40, 50, 60 dan seterusnya kepada masa sebenar yang diberi untuk menjawab kertas soalan matematik.
Dengan berlatih begini, anda akan meningkatkan kebolehan anda untuk menumpukan perhatian dan bertahan dalam keadaan sebegitu dengan lebih lama.
Selamat mencuba.
(Kredit : osmanaffan.com)

Nantikan tips-tips yang lain pada entri seterusnya ya!

Monday, 18 August 2014

GOOD LUCK!

Unit Bimbingan dan Kaunseling mendoakan agar semua anak didik cikgu dapat menjawab peperiksaan dengan tenang dan cemerlang.

SELAMAT MENGHADAPI UJIAN BULANAN KEDUA
19-21 Ogos 2014



Monday, 4 August 2014

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI



Walaupun agak terlewat, Unit B&K mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua murid dan guru yang beragama Islam. Di kesempatan ini, Unit B&K ingin memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat salah dan silap dan kekurangan sepanjang kami mengendalikan blog dan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah ye! Insyaallah, Unit B&K sentiasa berusaha untuk memperbaiki perkhidmatan ke arah yang lebih cemerlang.

PELANCARAN KEMPEN 3S DAN JOM DATANG AWAL

Pada tahun ini, Unit B&K telah melancarkan satu aktiviti baru iaitu Kempen 3S ( Senyum, Sapa dan Sopan) dan Jom Datang Awal. Tujuan Kempen 3S diadakan adalah untuk mempertingkatkan tahap sahsiah murid-murid di sekolah ini. Untuk tujuan itu, Anugerah Sahsiah Cemerlang akan diberikan kepada murid-murid terpilih secara bulanan.

Kempen Jom Datang Awal pula diadakan untuk menggalakkan murid-murid datang awal ke sekolah dan mengurangkan jumlah murid yang selalu datang lewat ke sekolah. Untuk tujuan ini, 10 orang murid terawal setiap bulan akan diberikan penghargaan. Kedua-dua kempen ini akan berjalan sehingga bulan November 2014.




Kedua-dua kempen ini telah dilancarkan pada 7 Julai 2014 oleh Guru Besar Puan Hjh Noriati Bt Mohd Yusof semasa perhimpunan rasmi. Dua org murid PRS Tahun 6 iaitu Vasundhra Vythilingam dan Nur Marsya Maisarah telah mendeklamasikan sajak yang bertajuk Budi Bahasa semasa majlis tersebut. Unit B&K berharap agar murid-murid dapat menghayati kempen ini dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian...senyum sokmo! :)

SAMBUTAN HARI LAHIR MEI & JUN 2014














SELAMAT ULANGTAHUN KELAHIRAN  

kepada semua guru dan murid yang lahir pada bulan Mei dan Jun... Semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki!






SAMBUTAN HARI LAHIR MAC & APRIL 2014







Unit B&K mengucapkan SELAMAT ULANGTAHUN KELAHIRAN kepada semua murid dan guru yang lahir pada bulan Mac dan April.

" Semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki "

CERAMAH DAN PAMERAN PENCEGAHAN JENAYAH

Unit B&K dengan kerjasama Unit 3K, Disiplin dan PDRM telah mengadakan Ceramah dan Pameran Pencegahan Jenayah bertempat di dewan SKPM pada 28 April 2014 yang lalu. Pihak PDRM telah memberikan kerjasama yang sangat baik dengan membawa pelbagai bentuk bahan pameran yang merangkumi jenayah, trafik dan juga narkotik. 

Seramai 7 orang pegawai PDRM dan Unit Trafik Balai Polis Klang Selatan telah hadir untuk sama-sama menjayakan aktiviti tersebut. Murid-murid kelihatan sangat teruja melihat pelbagai bentuk senjata yang digunakan dalam rompakan , bahan-bahan seperti wang palsu, jenis-jenis dadah dan pameran bergambar trafik yang dipamerkan. Selain itu, pihak PDRM juga telah melakukan demonstrasi cara mengesan cap jari pada bahan bukti.

Pihak sekolah sangat berbesar hati dan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak PDRM atas ceramah dan pameran tersebut. Moga kerjasama ini akan berterusan, Insyaallah.



MINGGU PPDa 2014.



 Alhamdulillah...Minggu PPDa telah dapat dilaksanakan dengan jayanya pada 21 hingga 23 April 2014. Pelbagai aktiviti telah disusun sepanjang minggu tersebut. Antaranya ialah :
a) Ceramah Anti dadah daripada pihak AADK Klang.
b) Pertandingan Mewarna Poster Tahap 2
c) Pertandingan Mencari Perkataan Tersembunyi Tahun 2 hingga 6
d) Pertandingan Mewarna Gambar Tahap 1








































Tahniah diucapkan kepada semua pemenang pertandingan yang telah dijalankan. Unit B&K juga mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan Minggu PPDa pada tahun ini. Adalah diharapkan agar tahun hadapan akan ada lebih banyak penyertaan dan pertandingan yang akan dianjurkan.

Friday, 21 March 2014

BENGKEL KEPIMPINAN TAHUN 2014

Tarikh : 20 Mac 2014
Masa  : 7.40 pagi hingga 1.30 tengah hari
Peserta: Pengawas, PRS,PSS,Ketua dan penolong ketua kelas.
Kaedah Pelaksanaan :

  1. Ceramah pendek
  2. Ice breaking
  3. LDK 1 & 2
  4. Resolusi







MAJLIS AKUJANJI UPSR 2014

Seramai 145 orang calon UPSR telah melafazkan akujanji dalam Majlis Akujanji pada 19 Mac yang lalu.Lafaz tersebut diketuai oleh Ketua Pengawas, Kuhaneeta Bai a/p Kalaicelvan.Setiap calon diberikan button badge untuk dipakai setiap hari sebagai pembakar semangat untuk mencapai 5A. Cikgu berharap agar semua calon UPSR mantapkan usaha untuk mencapai target atau sasaran yang telah ditetapkan dalam borang akujanji masing-masing.





SPEED MATHS DAN MOTIVASI SAINS UPSR

Pusat Tuisyen Era Pelita telah bermurah hati untuk mengadakan ceramah Teknik Kiraan Cepat atau Speed Maths dan motivasi Sains secara percuma kepada semua murid Tahun 6. Selain itu, pihak Pusat Tuisyen tersebut juga mengadakan kelas tambahan Matematik secara percuma selama sejam di sekolah untuk murid-murid HALUS Matematik. Ceramah Speed Maths ini juga diberikan secara percuma kepada murid Tahun 5.

Terima Kasih kepada pihak Tuisyen Era Pelita!






MAJLIS PENYERAHAN MENTOR MENTEE & SAMBUTAN HARI LAHIR JAN-FEB

Program ini telah diadakan pada 28 Februari 2014. Setiap kelas menerima 2 orang mentor yang terdiri daripada guru kelas dan seorang guru relief. Masa perjumpaan mentor mentee ialah hari Jumaat jam 12.35 tengah hari hingga 1.10 petang. Perjumpaan diadakan secara bulanan. Untuk sesi petang pula bermula jam 2.00 hingga 2.35 petang. Setiap mentor dibekalkan modul dan laporan aktiviti.

Pada tahun ini, untuk majlis sambutan hari lahir, Unit B&K telah bersepakat untuk meraikannya secara dwi bulanan. Murid yang ingin meraikan hari lahir pada hari disebut boleh menyumbangkan kek harijadi untuk memeriahkan majlis. Terima kasih daun keladi cikgu ucapkan kepada semua murid dan guru yang telah menyumbangkan kek harijadi semasa sambutan baru-baru ini.









Tuesday, 18 February 2014

MAJLIS DIALOG BERSAMA IBU BAPA MURID TAHUN 6

Majlis dialog telah dilaksanakan pada 22 Januari 2014 serentak dengan agihan bantuan persekolahan 2014.Majlis telah dirasmikan oleh YDP PIBG, Encik Alex Gabriel. Dalam majlis ini, penyelaras Tahun 6 telah membentangkan program-program peningkatan murid UPSR dan meminta persetujuan semua ibu bapa yang hadir untuk penetapan bayaran kelas tambahan. Kehadiran ibu bapa pada tahun ini agak memuaskan. Pihak sekolah mengucapkan jutaan terima kasih kepada ibu bapa yang telah hadir dan berharap agar program-program yang telah dirancang dapat membantu anak-anak mereka untuk menghadapi UPSR pada tahun ini.





PROGRAM MAJU DIRI (PMD) 2014

Sebagai kepada pembuka tirai Tahun 2014, PMD telah pun dilaksanakan dengan jayanya bermula 2 Januari hingga 7 Januari 2014. Pada tahun ini, pengisian program dimantapkan lagi dengan pelbagai aktiviti dan slot seperti Segar Minda, Inventori Personaliti dan Pertandingan Peta Minda.
 Tahniah kepada semua murid yang telah pun mengikuti PMD dengan jayanya dan sekalung penghargaan kepada semua guru terutamanya penceramah-penceramah untuk slot-slot khas yang telah memberikan kerjasama yang sangat tinggi. Semoga tahun hadapan, PMD akan menjadi satu program yang lebih mantap dan cemerlang.