Tuesday, 2 September 2014

TIPS MENGHADAPI PEPERIKSAAN

Pernahkah anda merasa begitu berdebar semasa peperiksaan hendak dijalankan? Jantung anda berdegup dengan sungguh pantas. Tangan anda mula sejuk. Anda tidak boleh duduk diam. Anda juga rasa semakin sukar untuk fokuskan fikiran anda kepada apa yang telah anda pelajari. Apakah yang harus anda lakukan?
Ada satu cara untuk mengurangkan debaran sebegini. Sedar tak, semasa anda resah dan berdebar, anda bernafas dengan laju sekali? Anda bernafas kadangkala seperti orang yang baru berlari pecut 100 meter.   Bernafas dengan laju begitu akan membuat paru-paru anda sukar untuk menyerap oksigen yang anda sedut kerana anda sedut udara dan lepaskannya semula dalam masa yang sangat singkat.
Cara mudah untuk menyelesaikan masalah ini ialah, pertama, duduk atau berhenti seketika. Tarik nafas sedalam-dalamnya. Jika boleh tarik nafas panjang selama 7 saat. Kemudia tahan selama 7 saat juga (dalam masa yang sama tenangkan atau kosongkan fikiran anda) dan kemudian lepaskan perlahan-lahan selama 7 saat juga. Buat aktiviti ini 5 ke 10 kali.
Sebaik-baiknya anda amalkan cara pernafasan begini semasa mengulangkaji pelajaran. Nanti kesannya lebih baik jika anda lakukan semasa peperiksaan.
Praktikkan cara ini insyaallah anda akan rasakan kesannya yang membuat anda lebih tenang dan fokus. Selamat mencuba.

Tip #1
Bahaya menghafal di saat akhir
Sebelum memasuki dewan peperiksaan, pasti anda pernah lihat kawan-kawan anda sibuk membuka buku dan cuba menghafal fakta-fakta pelajaran kan? Apa pendapat anda tentang perkara ini?
Jika anda tanya saya, saya akan katakan bahawa ada bahayanya jika anda lakukan perkara ini. Ini kerana, sebelum memasuki dewan peperiksaan, anda lebih mudah panik. Katakan anda cuba menghafal sesuatu dan gagl menghafalnya, anda akan masuk dewan peperiksaan dengan perasaan sangat gementar kerana tidak menghafal fakta tadi. Ini mula mengganggu konsentrasi ingatan anda terhadap fakta-fakta lain.
Akhirnya, fakta yang anda tidak sempat hafal tadi mungkin tidak keluar langsung dalam soalan, tetapi disebabkannya, anda lupa fakta lain yang anda telah hafal sebelum ini. Ini semua disebabkan rasa panik dan gementar sebelum memasuki dewan peperiksaan tadi. Jadi, berbaloikah anda membuka dan menghafal nota disaat-saat akhir di luar dewan peperiksaan tadi?

Tip #2
Latih kebolehan menumpukan perhatian
Apabila kita sedang menjawab soalan di dalam dewan peperiksaan, satu kebolehan yang amat kita perlukan ialah kebolehan untuk menumpukan perhatian. Jika kita tidak boleh menumpukan perhatian, kita akan merasa sukar untuk mengingati apa yang telah kita pelajari. Jika kita tidak boleh menumpukan perhatian kepada menjawab soalan, kita juga akan mudah merasa letih dan hilang kebolehan untuk berfikir dengan tajam.
Satu cara untuk melatih kebolehan menumpukan perhatian ialah semasa anda melakukan ulangkaji pelajaran. Semasa mengulangkaji, ketepikan semua jenis gangguan seperti televisyen, radio, handphone dan cuba cari tempat yang agak tenang seperti keadaan di dalam dewan peperiksaan. Katakan anda sedang mengulangkaji matematik, cari soalan-soalan matematik yang anda boleh lakukan dalam masa 30 minit. Dapatkan contoh kertas peperiksaan jika boleh.
Kemudian, duduk dengan selesa. (Duduk dengan selesa bukan bermakna anda boleh berlunjur atau meletakkan kaki di atas meja ) Duduk seperti anda seorang pelajar cemerlang yang sedang menjawab soalan peperiksaan. Tetapkan dalam hati (dengan bersungguh-sungguh) bahawa anda akan menumpukan perhatian selama 30 minit untuk melakukan latihan matematik. Kita mulakan latihan penumpuan perhatian ini dengan 30 minit dulu. Jika anda rasa 30 minit terlalu lama, kurangkan sedikit.
Kemudian, mula menjawab soalan-soalan itu. Gunakan segala usaha minda anda untuk menepis sebarang jenis gangguan yang mungkin mengganggu konsentrasi anda. Mungkin dalam masa 30 minit anda mula teringat rancangan television yang menarik dan mungkin anda juga teringat tentang janji untuk berjumpa kawan. dalam masa 30 minit ini, lupakan itu semua. Fokus 100 peratus perhatian anda kepada  soalan yang sedang lakukan.
Cuba latihan sebegini beberapa kali. Setelah berjaya, tambahkan masa daripada 30 minit kepada 40, 50, 60 dan seterusnya kepada masa sebenar yang diberi untuk menjawab kertas soalan matematik.
Dengan berlatih begini, anda akan meningkatkan kebolehan anda untuk menumpukan perhatian dan bertahan dalam keadaan sebegitu dengan lebih lama.
Selamat mencuba.
(Kredit : osmanaffan.com)

Nantikan tips-tips yang lain pada entri seterusnya ya!

No comments:

Post a Comment